Tuesday, June 30, 2009

benarkah kanser darah itu leukemia??

ini artikel yg aku amik dari http://www.cancer.org.my

kenapa aku citer pasal kanser darah ni, ank buah aku yg masuk spital last week... doktor inform dia mungkin ada kanser darah... hmm now 3 minggu kena stay kat spital utk rawatan lbh lanjut... kena tggu btl ke ada kanser... hmmm baru jer 15thn... thn ni nak amik PMR plak... hope xde apa2 penyakit yg berbahaya....

Leukemia

Pengenalan
Ruangan ini telah disediakan untuk membantu anda memahami lebih mendalam lagi tentang leukemia. Terdapat beberapa bentuk leukemia, oleh itu kadang-kala, di dalam maklumat ini kita berbicara tentang 'penyakit leukemia' secara keseluruhan. Leukemia merupakan penghasilan sel-sel darah yang tidak teratur yang boleh terjadi pada semua orang tidak mengira peringkat umur.

Ramai orang berasa terkejut dan bimbang apabila mereka diberitahu bahawa mereka menghidapi leukemia dan kami faham perasaan mereka. Maklumat yang berikut bertujuan untuk membantu anda memahami diagnosis dan rawatan penyakit ini. Kami juga memasukkan maklumat tentang perkhidmatan-perkhidmatan sokongan yang ada disediakan.
Kami tidak dapat menasihati anda tentang rawatan yang paling baik buat anda. Anda perlu berbincang tentang perkara ini dengan doktor anda. Walau bagaimanapun, kami berharap maklumat ini dapat menjawab beberapa pertanyaan anda dan membantu anda di dalam memikirkan soalan-soalan yang anda ingin ajukan kepada doktor anda.

Apakah kanser? Kanser merupakan penyakit pada sel-sel tubuh. Tubuh kita sentiasa menghasilkan sel-sel baru: untuk membolehkan kita membesar, menggantikan tisu-tisu yang lama, atau untuk memulihkan sel-sel yang rosak selepas luka. Lazimnya, sel-sel membesar dan membahagi dengan cara yang teratur. Walau bagaimanapun, gen yang rosak akan menyebabkan sel-sel ini bertindak secara abnormal. Mereka mungkin membesar membentuk suatu gumpalan yang dipanggil tumor.

Tumor mungkin benigna (tidak berkanser) atau malignan (berkanser). Tumor benigna tidak merebak ke luar batasan normal mereka ke bahagian lain tubuh. Tumor malignan terdiri daripada sel-sel berkanser. Jika sel-sel ini tidak dirawat, mereka mungkin merebak melepasi batasan normal ke dalam tisu-tisu di sekitarnya.

Jika sel-sel kanser merebak melepas batasan normal, maka tumor itu malignan, iaitu, ia merupakan kanser.

Kadang-kala sel-sel berpisah daripada kanser asal (primer) dan merebak ke organ-organ lain. Apabila sel-sel ini sampai ke suatu tempat yang baru, mereka mungkin akan terus membesar dan membentuk tumor yang lain di situ. Ini dipanggil kanser sekunder atau metatesis.

Di dalam sesetengah kanser, sel-sel darah tubuh yang membahagi secara abnormal. Kanser-kanser ini dipanggil leukemia, mieloma dan limfoma.
Darah Darah dipamkan ke sekeliling tubuh di dalam sistem peredaran. Darah membekalkan makanan, oksigen, hormon-hormon dan bahan-bahan kimia lain kepada keseluruhan sel tubuh. Ia juga membantu mengalir keluar bahan-bahan sisa dan penting di dalam melawan jangkitan.
Darah terdiri daripada cecair yang jernih dipanggil plasma dan tiga jenis sel: sel darah merah, platelet dan sel darah putih.

Kesemua sel darah datang daripada sel yang sama jenis yang dikenali sebagai sel-sel batang. Sebelum ini, sel-sel ini berkembang menjadi sama ada sel mieloid atau sel limfoid.
Sel-sel mieloid termasuk semua sel darah merah, platelet dan sel darah putih yang dikenali sebagai granulosit dan monosit.

Sel-sel limfoid termasuk semua sel darah putih yang lain yang dikenali sebagai limfosit.
Sel-sel darah merah mengumpul oksigen daripada paru-paru anda dan membawanya ke seluruh bahagian tubuh. Jika anda tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi, anda mengalami anemia. Anemia boleh menjadikan anda kelihatan pucat, menyebabkan pening kepala dan membuatkan anda berasa letih, pening-pening dan cepat marah.

Platelet diperlukan untuk membantu darah anda membeku ketika mendapat luka. Penurunan jumlah platelet mungkin menyebabkan perdarahan yang lama atau mudah lebam.
Sel-sel darah putih memainkan peranan penting di dalam mempertahankan tubuh daripada jangkitan. Pengurangan sel-sel darah putih meningkatkan risiko anda mendapat jangkitan.
Sel-sel darah dihasilkan di dalam sum sum tulang iaitu bahagian seperti span di dalam bahagian tengah tulang.

Apabila badan kita sihat, jumlah sel-sel merah, sel-sel putih dan platelet-platelet di dalam darah adalah seimbang. Penyakit-penyakit sel-sel darah seperti leukemia boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.

LeukemiaLeukemia merupakan kanser sel-sel yang membentuk darah. Leukemia menyebabkan jumlah-jumlah sel darah putih yang belum matang dihasilkan.
Sel-sel abnormal ini dipanggil blas leukemia, tidak boleh menjalankan fungsi-fungsi normal sel-sel darah putih. Mereka terkumpul di dalam sum sum tulang dan melimpah ke dalam darah dan mungkin merebak ke dalam organ-organ seperti hati, limpa, paru-paru dan buah pinggang. Kadang-kala, sel-sel ini juga mungkin merebak masuk ke dalam cecair di sekeliling otak dan saraf tunjang.

Oleh kerana terlalu banyak sel-sel darah putih yang terkumpul di dalam sum sum tulang, sum sum tulang tidak dapat menghasilkan sel-sel darah merah, sel-sel darah putih dan platelet yang mencukupi.

Jenis-jenis LeukemiaLeukemia terjadi di dalam beberapa bentuk. Sesetengah bentuk timbul serta-merta dan berkembang dengan cepat di dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu sahaja: ini merupakan leukemia akut. Yang lainnya pula tidak nyata dan berkembang dengan kadar yang perlahan di dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun: ini merupakan leukemia kronik.

Penyakit-penyakit leukemia dinamakan mengikut jenis-jenis sel darah putih yang terlibat. Leukemia mieloid ialah leukemia yang melibatkan granulosit-granulosit; leukemia limfoid melibatkan limfosit-limfosit.

Leukemia Limfoid Akut (Acute Lymphoid Leukaemia (ALL)) Leukemia limfoid akut lebih lazim pada kanak-kanak dan merupakan peratusan yang kecil sahaja di kalangan leukemia orang dewasa.

Ia menjejaskan limfosit-limfosit yang belum matang. Limfosit yang normal bertanggungjawab melawan jangkitan: apabila bakteria atau virus menyerang tubuh, limfosit bertindak balas dengan menghasilkan antibodi atau sel-sel pembunuh limfosit yang khas. Apabila anda menghidapi leukemia limfoid akut, limfosit tidak dapat berfungsi dengan betul dan anda mungkin mendapat jangkitan yang serius. Tambahan pula, penyakit ini menyebabkan banyak limfosit yang abnormal dihasilkan, yang menghimpit sel-sel darah merah dan platelet yang normal.

Leukemia Limfoid Kronik (Chronic Lymphoid Leukaemia (CLL))Leukemia ini juga menjejaskan limfosit-limfosit, tetapi berkembang dengan lebih perlahan daripada leukemia limfoid akut.
Penyakit ini menyerang orang dewasa tetapi tidak dikesan pada kanak-kanak.
Penyakit ini berkembang dengan lebih perlahan, oleh itu sel-sel normal tidak terhimpit dan ditolah keluar dengan cepatnya berbanding dengan leukemia limfoid akut. Jika anda menghidapi leukemia limfoid kronik, anda mungkin tidak mengalami sebarang gejala sehinggalah peringkat-peringkat lanjut penyakit ini.

Leukemia Mieloid Akut (Acute Myeloid Leukaemia (AML))Leukemia ini biasanya menyerang orang dewasa, tetapi boleh terjadi pada kanak-kanak dan remaja.
Leukemia mieloid akut terutamanya menjejaskan sel-sel mieloid yang dikenali sebagai granulosit. Penyakit ini menghasilkan sel-sel mieloid yang masih muda di dalam jumlah yang berlebihan dan menyebabkan kekurangan sel-sel mieloid yang matang. Sel-sel mieloid yang muda ini boleh menyekat salur-salur darah.

Leukemia Mieloid Kronik (Chronic Myeloid Leukaemia (CML))Leukemia mieloid kronik boleh terjadi pada semua peringkat umur tetapi paling jarang dikesan pada usia di bawah 20 tahun. Ia menghalang sel-sel mieloid daripada berfungsi dengan betul. Ia berlaku di dalam dua peringkat: pertama, berlakunya pembahagian sel-sel abnormal secara perlahan. Kemudian, ia boleh dengan cepatnya berubah ke peringkat akut.

No comments: